Tuesday, 16 August 2016

MotoGP : Jentera KTM - RC16 pencabar baru musim 2017

KTM RC16 pertaruhan KTM untuk kejuaraan MotoGP 2017
Jentera terbaru dari KTM yang dibangunkan khusus untuk perlumbaan MotoGP iaitu RC16 telah membuat kemunculan istimewa di hadapan penyokong tuan rumah Austria sebelum bermulanya perlumbaan MotoGP pada MotoGP Austria.

Kemunculan KTM RC16 mendapat sorakan gemuruh penyokong tuan rumah Austria
Setelah pengenalan secara rasmi bagi projek khas ini pada hari Sabtu, penunggang uji jentera tersebuat iaitu Mika Kallio dan Alex Hofmann melakukan berberapa pusingan demonstrasi di litar Red Bull Ring - dengan penampilan sepenuhnya jentera tersebut buat pertama kalinya.

Kallio - melakukan pusingan hampir 2 saat ketinggalan berbanding yang kelompok pendahulu dan hanya satu saat berbanding jentera pendahulu bukan Ducati pada ujian tertutup bulan lepas - akan memberikan jentera RC16 ini penampilan sulungnya di atas tiket wild card di perlumbaan akhir musim pada bulan November.

RC16 bakal mencabar jentera-jentera terbaik kategori MotoGP bagi musim 2017
"Saya fikirkan berberapa minggu lalu kami mempamerkan kepada orang ramai yang kami berada pada tahap yang cukup baik," kata pelumba berasal dari Finland yang merupakan bekas pelumba sepenuh masa MotoGP. "Sangat teruja untuk menunggang jentera ini dan saya benar-benar menikmati setiap pusingan yang saya lakukan dengannya,"

RC16 akan muncul di perlumbaan akhir musim 2016 atas tiket 'wild card'
"Kami semakin menghampiri pencabar-pencabar kami dan langkah demi langkah kami sedang berkembang maju. Saya boleh katakan yang enjin jentera ini sangat bagus dan kami masih mempunyai empat kali ujian sebelum perlumbaan di Valencia."

Pelumba yang akan memacu jentera KTM RC16 ini pada musim 2017 ialah Bradley Smith dan Pol Espargaro.

Dua jentera KTM RC16 menjadi milik Bradley Smith dan Pol Espargaro musim 2017



Saturday, 16 July 2016

Moto Lejen : Yamaha YZF-R1 Kini Generasi Ke-6 Kekal Hebat

Generasi terkini model lagenda Yamaha YZF- R1 iaitu R1M (kiri) dan R1(kanan)

Generasi Pertama : Yamaha YZF- R1 (1998-2003)

Model Yamaha R1 yang diperkenalkan lewat tahun 90-an iaitu pada tahun 1998 merupakan jentera ketiga dan terakhir untuk kategori motosikal sport terbaik sepanjang dekad itu. Honda CBR FireBlade telah menetapkan penanda aras, diikuti oleh model Ducati 916 yang cukup 'cantik' manakala model Yamaha YZF-R1 mengatasi kedua-duanya dengan kelebihan kuasa dan sedikit 'kegilaan'. Sehingga kini model asal Yamaha YZF-R1 ini masih dijadikan panduan dengan model-model terkini keluarga Yamaha YZF-R1 direka untuk lebih berkaliber serta 'mesra'.

Model 1998 memperkenalkan Yamaha R1 kepada dunia jentera sport
Generasi Ke-2 : Yamaha YZF-R1 (2004-2006)

Cukup sukar sekali untuk mencari kelemahan kepada model Yamaha YZF-R1 yang dikeluarkan pada tahun 2004. Ia sebuah jentera yang cukup klinikal, tepat dan sudah semestinya amat laju. Kelebihan chasisnya yang mampu menyerap tekanan daripada pelbagai permukaan jalan dan mampu mengatasi selekoh sukar di mana-mana litar menjadikan ia cukup hebat. Namun ia memerlukan penunggangnya mempunyai skil yang sama hebat kerana model ini lebih sukar dikendalikan berbanding pencabarnya seperti Honda CBR1000RR dan Suzuki GSX-R1000 yang lebih mudah dikendalikan. Kepada penunggang motosikal yang sejati sudah tentu mereka inginkan sebuah jentera yang unik, memerlukan fokus yang tinggi serta skil yang ekstrem untuk menunggang laju.

Model 2004 sebuah model yang 'unik' berbanding model seterunya
Generasi Ke-3 : Yamaha YZF-R1 (2007-2008)

Model Yamaha R1 tahun 2007 ini memperkenalkan rekaan lima injap pada setiap silinder berbanding kebiasaan hanya empat injap memberikan kuasa peringkat pertengahan namun masih lagi mengekalkan karekter 'gila-gila' enjin sebelumnya. Chasisnya juga dipertingkatkan dengan menggunakan kerangka baru, lengan ayun dan suspensi juga dipertingkatkan bagi menjadikan model terkini ini sebagai sebuah jentera jalanan yang 'sempurna' dan dalam masa yang sama sebagai asas untuk beraksi di litar dan perlumbaan superstock.

Model 2007 mempunyai rekaan enjin dengan 5 injap untuk setiap silinder
Generasi Ke-4 : Yamaha YZF-R1 (2009-2011)

Inilah sebuah model yang diiktiraf sebagai sebuah jentera empat silinder sebaris yang terbaik pernah dicipta. Ia cukup sensasi. Yamaha R1 ini mempunyai teknologi cross-plane di mana teknologi ini di ambil terus daripada jentera kilang juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi YZR-M1. Dari kedudukan pegun jentera ini seolah-olah sebuah jentera dua lejang dan ketika ia bergerak, jentera R1 ini mempamerkan kebolehan pecutan yang mengagumkan, tidak kira di mana kedudukan putaran enjin dan ia amat menakjubkan. Terima kasih kepada rekaan enjin yang membolehkan jentera ini meratah selekoh seperti jentera V-twin, memberikan rasa keyakinan terhadap tayar belakang dan dalam masa yang sama memecut pantas di laluan lurus seperti mana biasa. Namun yang paling indah ialah bunyi ekzosnya selunak jentera M1 Rossi pada kemuncaknya.


Model 2009 mendapat inspirasi dari jentera MotoGP Valentino Rossi, YZR-M1
Generasi Ke-5 : Yamaha YZF-R1 (2012-2014)

Tidak banyak yang berubah dengan model tahun 2012 ini, namun ia dilengkapkan dengan kawalan cengkaman enam tahap, mempunyai aplikasi anti-wheelie pada dua peringkat paling berkuasa. Muncung hadapannya diubah sedikit, ditambah dengan rupa seperti jentera MotoGP YZR-M1 dan penyerap hentak belakang yang lebih panjang dan lembut. Namun semua ini masih belum mencukupi untuk berhadapan dengan model-model generasi baru superbikes seperti BMW S1000RR, Aprilia RSV4 dan Kawasaki ZX-10R di atas litar, namun Yamaha R1 ini tidak dinafikan masih lagi sebuah jentera jalanan yang lebih baik. Ia sebuah jentera yang lancar, laju, ruang yang luas dan selesa dan kini dengan penambahan ciri kawalan cengkaman yang berfungsi cukup baik. Namun masalahnya ialah harganya yang mahal walaupun masih berbaloi untuk memilikinya.

Model 2012 ialah model terakhir sebelum model rekaan baru sepenuhnya pada 2015






Wednesday, 15 June 2016

World Scene : RC213V-S diuji oleh pelumba MotoGP Repsol Honda

Marquez dan Pedrosa bersama jentera replika untuk jalanan RC213V-S
Sebagai pelumba MotoGP pasukan kilang Honda, Marc Marquez dan Dani Pedrosa diberi peluang menunggang replika jentera perlumbaan mereka untuk jalanan iaitu RC213V-S. Mereka melakukannya bagi mempromosikan litar Red Bull Ring di Austria pada hari Selasa.

RC213V-S antara jentera termahal dengan tag harga Euro 188,000
Jentera replika kepada model perlumbaan yang digunakan oleh pelumba-pelumba Repsol Honda iaitu RC213V di dalam kategori MotoGP ini berharga Euro 188,000.

Austria telah menganjurkan kejuaraan dunia motosikal pada 1997, sebelum Red Bull mengambil alih litar tersebut yang dinamakan sebagai A1 Ring. Kini ia akan kembali ke kalendar perlumbaan pada tahun ini iaitu pada 12hb-14hb Ogos.

Litar A1 Ring, Austria di kalendar MotoGP 2016 pada 12hb-14hb Ogos
Pendahulu kejuaraan dunia MotoGP, Marc Marquez pelumba Repsol Honda
Rakan sepasukan, Dani Pedrosa kelihatan seronok dengan RC213V-S
Pendahulu kejuaraan dunia 2016, Marquez pernah menguji litar ini pada tahun lepas pada satu acara promosi, menggunakan jentera RC213V, namun permukaan aslfat telah berubah sejak itu.


Tuesday, 14 June 2016

World Scene : VR46 Riders Academy Latih Pelumba Bintang Yamaha

VR46 Riders Academy diasaskan oleh Juara Dunia 9 kali dari Itali, Valentino Rossi
Yamaha telah menamakan lima orang pelumba muda yang akan dihantar ke VR46 Riders Academy yang diterajui oleh juara dunia sembilan kali Valentino Rossi.

Awal tahun ini telah diumumkan bahawa Yamaha telah menandatangani kerjasama tiga tahun bersama VR46 Riders Academy.

Kerjasama itu melibatkan bekalan jentera oleh Yamaha, juga sokongan daripada luar litar seperti PR dan pengurusan pasukan.

Barisan pelumba terpilih daripada kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2016 kelas 250cc
Sebagai balasan, Yamaha akan menghantar segelintir bintang-bintangnya yang sedang meningkat naik daripada kelas 250cc kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) ke VR46 Riders Academy - untuk menerima latihan dan tunjuk ajar daripada Rossi.

Pengambilan pertama pelumba-pelumba yang akan dikenali sebagai 'The Master Camp' terdiri daripada  Peerapong Loiboonpeng (21, Thailand), Galang Hendra Pratama (17, Indonesia), Soichiro Minamimoto (16, Japan), Kasma Daniel Bin Kasmayudin (16, Malaysia) dan Imanuel Putra Pratna (19, Indonesia).

Mereka berlima telah dipilih berdasarkan kepada pungutan mata terkini mereka di dalam kategori AP250, umur serta berberapa faktor lain. Kesemua mereka yang terpilih akan berada di bandar kelahiran Rossi iaitu Tavullia daripada 4hb - 8hb Julai nanti.

Motor Ranch untuk latihan motosikal lasak di VR46 Riders Academy
Kurikulum yang telah dirancang akan melihat Rossi dan tenaga-tenaga pengajar sepenuh masa di VR46 Riders Academy mengajar para peserta tentang bagaimana menunggang motosikal lasak di Motor Ranch, termasuk menunggang di trek berhampiran sirkit Misano dan lain-lain teknik melalui aktiviti-aktiviti yang mencabar dan kehadapan.

"Hanya berberapa bulan lalu kerjasama di antara Yamaha dan VR46 Riders Academy terjalin dan ia memberi kebaikan kepada pelatih-pelatih di akademi ini kerana Yamaha membekalkan motosikal-motosikal yang terbaik untuk latihan mereka, di trek dan juga di Ranch,"

"Ini satu permulaan yang hebat di dalam usaha kami membantu bakat-bakat muda, dan pada hari ini saya berasa lebih gembira kerana memikirkan tentang permulaan edisi pertama 'The Master Camp', yang hanya berberapa minggu sahaja lagi.

"Pada minggu pertama bulan Julai, sebahagian daripada pelumba-pelumba Yamaha yang terpilih akan datang menjalani latihan bersama saya dan pelatih-pelatih di VR46 Riders Academy. Inisiatif ini ialah satu pencapaian yang hebat, dan ia hanyalah satu daripada banyak lagi projek yang dirancang bersama oleh VR46 Riders Academy dan Yamaha. Kami mempunyai objektif yang sama, iaitu membantu bakat-bakat muda untuk mencapai puncak kejayaan di dalam sukan perlumbaan motosikal.

"Saya secara peribadi gembira untuk memainkan peranan yang aktif di dalam membantu bakat-bakat muda dan saya tidak sabar bertemu dengan pelumba-pelumba dari Yamaha dan berlatih dengan mereka bersama-sama pelatih dari akademi di Ranch dan di litar Misano.

Sukan motosikal lasak adalah salah satu latihan yang digemari oleh Rossi
Mereka akan menghabiskan masa sepanjang minggu bersama kami, berlatih bersama, mengikuti program yang sama setiap hari, di atas litar dan juga di gym. Ia pastinya bukan mudah untuk mereka, namun saya pasti mereka akan berasa gembira. Ia akan menjadi satu minggu yang indah dan sibuk!"

Sky -VR46 Moto 3 membariskan pelumba-pelumba muda berbakat dari Itali
Rossi menubuhkan VR46 Riders Academy untuk membantu pelumba-pelumba muda Itali pada tahun 2014, dengan tiga orang ahlinya - Romano Fenati, Nicolo Bulega dan Andrea Migno - kini berlumba dengan untuk pasukan Sky - VR46 Moto3.

Monday, 13 June 2016

MotoGP : Lorenzo Akui Rossi Hebat Di GP Catalunya

Jorge Lorenzo (99) mengakui kehebatan Valentino Rossi (46) di GP Catalunya 2016
Jorge Lorenzo mededahkan yang kehilangan cengkaman pada tayar hadapan yang berbutir merupakan penyebab kepada hilangnya kepantasan jentera beliau walaupun berjaya mendahului di peringkat awal perlumbaan GP Catalunya.

Juara bertahan itu bermula pantas untuk memintas penghuni petak utama Marc Marquez apabila memasuki Selekoh 1 dan mendahului kelopmpok pelumba untuk enam pusingan terawal.

Namun Lorenzo mula ketinggalan dan pada satu ketika berada di kedudukan kelima pada pusingan ke-12 daripada 25 pusingan.


Lorenzo memulakan perlumbaan dengan baik untuk mendahului 6 pusingan terawal
"Pada mulanya saya bermula dengan cukup baik dan dengan kombinasi tayar yang baru saya berada pada tahap yang lebih baik atau sama tahap dengan pelumba-pelumba lain. Namun seperti yang saya jangkakan, jika tayar hadapan saya mulai berbutir maka saya akan berhadapan dengan kesukaran. Inilah yang telah berlaku," ujar Lorenzo ketika ditemubual oleh pihak media di tepi litar.

"Rossi dengan jentera yang sama, tetapi tayarnya tidak terlalu berbutir. Kelihatan dia menunggang denga gaya yang berbeza dengan saya dan dengan gayanya biasanya dia mampu menyelamatkan tayar hadapan. Lebih-lebih lagi dia memang mahir dengan situasi-situasi sukar, termasuk situasi di mana tiada cengkaman.

"Hari ini dia berlumba dengan menakjubkan. Saya tidak mampu berlumba sepertinya dan tidak mampu mengubah cara saya berlumba untuk mengatasi masalah tayar hadapan, di sepanjang minggu. Inilah kebenarannya."

Pertembungan dengan Iannone (29) memaksa Lorenzo berputih mata tanpa sebarang mata
Setelah bergelut dengan masalah tayar untuk 17 pusingan, akhirnya Lorenzo diheret keluar daripada perlumbaan oleh pelumba Ducati, Andrea Iannone.

DNF (Did Not Finish) keduanya musim ini menyebabkan pelumba Sepanyol ini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu kejuaraan dunia Marc Marquez yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Valentino Rossi pada GP Catalunya.



Thursday, 9 June 2016

MotoGP : Strategi Rossi Berjaya Di GP Catalunya

Kemenangan di Catalunya menebus kegagalan di Mugello
Bermula di petak ke-5 namun jatuh ke kedudukan ke-8 di Selekoh 1 pada perlumbaan Ahad lalu di GP Catalunya, Valentino Rossi hanya memerlukan tujuh pusingan sahaja untuk mendahului perlumbaan.

"Kunci kejayaan kami bermula pada pagi ini, kami memodifikasi jentera tersebut untuk sektor terakhir dan ketika sesi pemanas badan saya adalah yang terpantas. Setelah itu, saya tahu saya boleh bersaing untuk memenangi perlumbaan," jelas pelumba pasukan Movistar Yamaha itu yang kemudiannya, merujuk kepada selekoh 'henti-gerak' F1 yang diperkenalkan setelah kemalangan maut yang menimpa Luis Salom pada sesi latihan bebas pada Jumaat.

Di pusingan ke-7 Rossi sudah berjaya memimpin perlumbaan
"Sebenarnya permulaan saya sangat teruk, dan awalnya saya sangat rapat dengan Dovizioso ketika membrek untuk kali pertama dan saya tidak membrek terlalu kuat. Tapi saya mempunyai rentak yang baik dan berjaya menebus kesilapan itu."

Setelah berjaya berada di hadapan, Rossi berhasrat untuk melepaskan diri daripada kelompok hadapan.

"Saya cuba untuk melepaskan diri. Strategi ini menjadi dengan pelumba-pelumba lain kecuali Marquez, yang berjaya mengekori saya," ujar Rossi. "Jadi saya tahu ia pasti akan menjadi sukar. Namun saya masih berasa selesa. Saya masih mampu memacu jentera saya dengan baik. Jadi saya cuba untuk kekal di hadapan."

Marquez hampir menewaskan Rossi di pusingan-pusingan terakhir
Ketika memulakan perlumbaan, Rossi ketinggalan 37 mata di belakang rakan sepasukan dan juara bertahan Jorge Lorenzo, akibat kegagalan enjin di Mugello. Setelah mengetahui Lorenzo dilanggar oleh Andrea Iannone pada pusingan ke-17 daripada 25 pusingan, Rossi juga berkira-kira untuk sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-2.

"Ketika saya tahu Lorenzo telah terkeluar, saya terfikirkannya. Namun saya perlu mengejar banyak mata dengan dua pelumba di hadapan saya termasuk Marc, yang sekarang mendahului kejuaraan. Jadi saya memutuskan untuk cuba meraih kemenangan."

Di dalam usaha untuk mengejar kemenangan, Rossi perlu berhadapan dengan Marquez di dalam persaingan yang cukup sengit yang melihat kedua-dua pelumba bertukar kedudukan pendahulu di penghujung perlumbaan.

"Diakhirnya, pertarungan itu cukup hebat. Saya amat menyukainya. Ketika saya melihat Marc memintas saya, saya melihat beliau juga berhadapan dengan masalah tayar. Sejak dari detik itu saya mencuba sehabisnya dan berjaya membuka sedikit ruang kecil di antara kami di pusingan terakhir.

Rossi melihat usaha Marquez memotongnya terbatas dengan masalah tayar
"Saya perlu melihat ulang tayang di kaca tv, namun saya fikir ia sama seperti pertarungan dengan Lorenzo pada 2009, kerana kami saling pintas-memintas berberapa kali dan menamatkan perlumbaan dengan cukup rapat."

Rossi dan Marquez berjabat tangan buat pertama kalinya sejak 2015 selepas tamat perlumbaan tersebut.

"Sejak saya berada di dalam kategori MotoGP, ini adalah saat terkuatnya," Marquez merujuk kepada pelumba berusia 37 tahun itu. "Tahun lepas beliau memang kuat, namun saya dapat rasakan tahun ini dia bertambah kuat. Dia mempunyai rentak yang baik. Dia berada di tahap yang sangat baik."

Rossi kekal di kedudukan ketiga keseluruhan di dalam kejuaraan dunia, namun kini hanya ketinggalan 22 mata di belakang Marquez dan 12 mata di belakang Lorenzo.

Penghormatan diberikan oleh pemenang kepada Luis Salom dengan memakai t-shirt istimewa
Sementara itu, minggu ini adalah saat sukar untuk MotoGP, bagi Rossi perlumbaan yang menarik ini sebagai penghormatan kepada Luis Salom yang kekal di ingatan semua.

"Ini adalah cara yang terbaik untuk memperingati Salom, satu sumbangan kecil kepadanya dan keluarga. Ia tidak penting, tapi itulah yang dilakukan oleh kami rakan pelumba pada hari ini," ujar pelumba Itali itu seperti Marquez dan pemenang podium ke-3 Dani Pedrosa memakai t-shirt istimewa di atas podium.

Seminit sunyi bagi mengingati mendiang Salom, di sekitar kawasan paddock diadakan sebelum perlumbaan pada Ahad bermula.


Wednesday, 8 June 2016

MotoGP : Rossi dan Marquez 'Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih' Selepas GP Catalunya

Rossi dan Marquez mengakhiri perseteruan mereka di GP Catalunya 2016
GP Catalunya yang berakhir Ahad lalu membuka lembaran baru bagi Valentino Rossi dan Marc Marquez yang berjabat tangan buat pertama kali sejak 2015.

Pernah bersahabat, hubungan kedua-duanya berkecai selepas Rossi mendakwa Marquez sengaja membantu Jorge Lorenzo memenangi gelaran Juara Dunia tahun lepas. Permusuhan mereka mencapai kemuncaknya apabila berlakunya pertembungan di antara keduanya di Sepang dan akhirnya menjurus kepada kehilangan kejuaraan oleh Rossi di Valencia.

Sejak itu Rossi tidak pernah lagi bertentang mata dengan Marquez, namun tragedi kematian Luis Salom membantu membawa perspektif baru dan mereka berdua berjabat tangan dalam suasana penuh terharu selepas kejayaan penuh debaran oleh pelumba Itali ke atas pelumba Honda itu.

Tragedi menimpa Luis Salom menyatukan kembali mereka
"Apabila kejadian seperti ini berlaku [kemalangan menimpa Salom], perkara lain tidak lagi penting. Ia kelihatan kecil," ujar Rossi. "Jadi saya fikir [berjabat tangan] dengan Marquez adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

"Ini satu sukan yang sangat hebat. Ia adalah keghairahan kami. Namun ia juga berbahaya. Jadi saya fikir ianya satu perbuatan yang normal dengan perasaan yang normal untuk berkongsi dengan pelumba-pelumba lain kerana ia cukup membantu."

Komen Marquez pula: "Ia adalah satu minggu yang sukar dan menyedihkan untuk MotoGP. Namun diakhirnya, pada Ahad, saya gembira kerana muncul kembali aura 'keluarga' di dalam MotoGP. Apabila kami secara bersama di grid [berdiam diri seminit] dan semua pelumba mendedikasikan perlumbaan mereka kepada Luis.

"Manakala di pentas utama semua orang memberi sokongan kepada semua pelumba. Penuh dengan penghormatan, kerana sebenarnya kami mengambil risiko dengan berlumba. Selain itu ia sesuatu yang cukup bermakna kepada saya untuk berjabat tangan dengan Valentino. Saya amat gembira tentangnya."

Apabila ditanya jika perlumbaan ini mampu memperbaiki hubungan mereka berdua, jawab Rossi ringkas "Ya".

"Okey" sambil tersenyum sambut Marquez, sambil menepuk-nepuk bahu Rossi dengan tangannya diikuti tepukan oleh pihak media.

Semuanya 'Okey' 
Namun hubungan di antara Rossi dan Lorenzo mungkin mengambil masa untuk pulih.

Rossi dan Marquez tidak lagi bertikam lidah sejak berakhirnya musim lalu, namun kedua-dua rakan sepasukan di Movistar Yamaha ini bertukar-tukar cemuhan dalam pelbagai perkara sejak pusingan pertama di Qatar lagi.

"Soalan yang baik!" ujar Rossi sambil tersenyum apabila ditanya jika beliau akan cuba memperbaiki hubungannya dengan Lorenzo. "Sejujurnya situasi dengan Lorenzo sedikit berbeza. Maksud saya, apa yang boleh saya katakan ialah di permulaan musim lagi saya tidak pernah terfikir untuk tidak mempunyai hubungan lagi dengannya, atau tidak bercakap lagi dengannya atau sekadar berkata 'ciao'.

"Namun sejak saya kembali ke Yamaha, ia adalah saya yang sentiasa pergi kepadanya dan berkata 'ciao Jorge, semuanya ok? Apa khabar?' Jadi kali ini sampailah masanya untuk saya tunggu dia datang menegur saya. Namun ia tidak berlaku, jadi anda perlu bertanya kepadanya sendiri!"

Apabila ditanya jika dia akan menghadiri mesyuarat Safety Commissions di masa depan, setelah tidak menghadirinya sejak Sepang tahun lalu, Rossi menjawab yang dia akan cuba untuk hadir.