Kemenangan di Catalunya menebus kegagalan di Mugello |
Bermula di petak ke-5 namun jatuh ke kedudukan ke-8 di Selekoh 1 pada perlumbaan Ahad lalu di GP Catalunya, Valentino Rossi hanya memerlukan tujuh pusingan sahaja untuk mendahului perlumbaan.
"Kunci kejayaan kami bermula pada pagi ini, kami memodifikasi jentera tersebut untuk sektor terakhir dan ketika sesi pemanas badan saya adalah yang terpantas. Setelah itu, saya tahu saya boleh bersaing untuk memenangi perlumbaan," jelas pelumba pasukan Movistar Yamaha itu yang kemudiannya, merujuk kepada selekoh 'henti-gerak' F1 yang diperkenalkan setelah kemalangan maut yang menimpa Luis Salom pada sesi latihan bebas pada Jumaat.
Di pusingan ke-7 Rossi sudah berjaya memimpin perlumbaan |
"Sebenarnya permulaan saya sangat teruk, dan awalnya saya sangat rapat dengan Dovizioso ketika membrek untuk kali pertama dan saya tidak membrek terlalu kuat. Tapi saya mempunyai rentak yang baik dan berjaya menebus kesilapan itu."
Setelah berjaya berada di hadapan, Rossi berhasrat untuk melepaskan diri daripada kelompok hadapan.
"Saya cuba untuk melepaskan diri. Strategi ini menjadi dengan pelumba-pelumba lain kecuali Marquez, yang berjaya mengekori saya," ujar Rossi. "Jadi saya tahu ia pasti akan menjadi sukar. Namun saya masih berasa selesa. Saya masih mampu memacu jentera saya dengan baik. Jadi saya cuba untuk kekal di hadapan."
Marquez hampir menewaskan Rossi di pusingan-pusingan terakhir |
Ketika memulakan perlumbaan, Rossi ketinggalan 37 mata di belakang rakan sepasukan dan juara bertahan Jorge Lorenzo, akibat kegagalan enjin di Mugello. Setelah mengetahui Lorenzo dilanggar oleh Andrea Iannone pada pusingan ke-17 daripada 25 pusingan, Rossi juga berkira-kira untuk sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-2.
"Ketika saya tahu Lorenzo telah terkeluar, saya terfikirkannya. Namun saya perlu mengejar banyak mata dengan dua pelumba di hadapan saya termasuk Marc, yang sekarang mendahului kejuaraan. Jadi saya memutuskan untuk cuba meraih kemenangan."
Di dalam usaha untuk mengejar kemenangan, Rossi perlu berhadapan dengan Marquez di dalam persaingan yang cukup sengit yang melihat kedua-dua pelumba bertukar kedudukan pendahulu di penghujung perlumbaan.
"Diakhirnya, pertarungan itu cukup hebat. Saya amat menyukainya. Ketika saya melihat Marc memintas saya, saya melihat beliau juga berhadapan dengan masalah tayar. Sejak dari detik itu saya mencuba sehabisnya dan berjaya membuka sedikit ruang kecil di antara kami di pusingan terakhir.
Rossi melihat usaha Marquez memotongnya terbatas dengan masalah tayar |
"Saya perlu melihat ulang tayang di kaca tv, namun saya fikir ia sama seperti pertarungan dengan Lorenzo pada 2009, kerana kami saling pintas-memintas berberapa kali dan menamatkan perlumbaan dengan cukup rapat."
Rossi dan Marquez berjabat tangan buat pertama kalinya sejak 2015 selepas tamat perlumbaan tersebut.
"Sejak saya berada di dalam kategori MotoGP, ini adalah saat terkuatnya," Marquez merujuk kepada pelumba berusia 37 tahun itu. "Tahun lepas beliau memang kuat, namun saya dapat rasakan tahun ini dia bertambah kuat. Dia mempunyai rentak yang baik. Dia berada di tahap yang sangat baik."
Rossi kekal di kedudukan ketiga keseluruhan di dalam kejuaraan dunia, namun kini hanya ketinggalan 22 mata di belakang Marquez dan 12 mata di belakang Lorenzo.
Penghormatan diberikan oleh pemenang kepada Luis Salom dengan memakai t-shirt istimewa |
Sementara itu, minggu ini adalah saat sukar untuk MotoGP, bagi Rossi perlumbaan yang menarik ini sebagai penghormatan kepada Luis Salom yang kekal di ingatan semua.
"Ini adalah cara yang terbaik untuk memperingati Salom, satu sumbangan kecil kepadanya dan keluarga. Ia tidak penting, tapi itulah yang dilakukan oleh kami rakan pelumba pada hari ini," ujar pelumba Itali itu seperti Marquez dan pemenang podium ke-3 Dani Pedrosa memakai t-shirt istimewa di atas podium.
Seminit sunyi bagi mengingati mendiang Salom, di sekitar kawasan paddock diadakan sebelum perlumbaan pada Ahad bermula.
No comments:
Post a Comment