Wednesday, 8 June 2016

MotoGP : Rossi dan Marquez 'Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih' Selepas GP Catalunya

Rossi dan Marquez mengakhiri perseteruan mereka di GP Catalunya 2016
GP Catalunya yang berakhir Ahad lalu membuka lembaran baru bagi Valentino Rossi dan Marc Marquez yang berjabat tangan buat pertama kali sejak 2015.

Pernah bersahabat, hubungan kedua-duanya berkecai selepas Rossi mendakwa Marquez sengaja membantu Jorge Lorenzo memenangi gelaran Juara Dunia tahun lepas. Permusuhan mereka mencapai kemuncaknya apabila berlakunya pertembungan di antara keduanya di Sepang dan akhirnya menjurus kepada kehilangan kejuaraan oleh Rossi di Valencia.

Sejak itu Rossi tidak pernah lagi bertentang mata dengan Marquez, namun tragedi kematian Luis Salom membantu membawa perspektif baru dan mereka berdua berjabat tangan dalam suasana penuh terharu selepas kejayaan penuh debaran oleh pelumba Itali ke atas pelumba Honda itu.

Tragedi menimpa Luis Salom menyatukan kembali mereka
"Apabila kejadian seperti ini berlaku [kemalangan menimpa Salom], perkara lain tidak lagi penting. Ia kelihatan kecil," ujar Rossi. "Jadi saya fikir [berjabat tangan] dengan Marquez adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

"Ini satu sukan yang sangat hebat. Ia adalah keghairahan kami. Namun ia juga berbahaya. Jadi saya fikir ianya satu perbuatan yang normal dengan perasaan yang normal untuk berkongsi dengan pelumba-pelumba lain kerana ia cukup membantu."

Komen Marquez pula: "Ia adalah satu minggu yang sukar dan menyedihkan untuk MotoGP. Namun diakhirnya, pada Ahad, saya gembira kerana muncul kembali aura 'keluarga' di dalam MotoGP. Apabila kami secara bersama di grid [berdiam diri seminit] dan semua pelumba mendedikasikan perlumbaan mereka kepada Luis.

"Manakala di pentas utama semua orang memberi sokongan kepada semua pelumba. Penuh dengan penghormatan, kerana sebenarnya kami mengambil risiko dengan berlumba. Selain itu ia sesuatu yang cukup bermakna kepada saya untuk berjabat tangan dengan Valentino. Saya amat gembira tentangnya."

Apabila ditanya jika perlumbaan ini mampu memperbaiki hubungan mereka berdua, jawab Rossi ringkas "Ya".

"Okey" sambil tersenyum sambut Marquez, sambil menepuk-nepuk bahu Rossi dengan tangannya diikuti tepukan oleh pihak media.

Semuanya 'Okey' 
Namun hubungan di antara Rossi dan Lorenzo mungkin mengambil masa untuk pulih.

Rossi dan Marquez tidak lagi bertikam lidah sejak berakhirnya musim lalu, namun kedua-dua rakan sepasukan di Movistar Yamaha ini bertukar-tukar cemuhan dalam pelbagai perkara sejak pusingan pertama di Qatar lagi.

"Soalan yang baik!" ujar Rossi sambil tersenyum apabila ditanya jika beliau akan cuba memperbaiki hubungannya dengan Lorenzo. "Sejujurnya situasi dengan Lorenzo sedikit berbeza. Maksud saya, apa yang boleh saya katakan ialah di permulaan musim lagi saya tidak pernah terfikir untuk tidak mempunyai hubungan lagi dengannya, atau tidak bercakap lagi dengannya atau sekadar berkata 'ciao'.

"Namun sejak saya kembali ke Yamaha, ia adalah saya yang sentiasa pergi kepadanya dan berkata 'ciao Jorge, semuanya ok? Apa khabar?' Jadi kali ini sampailah masanya untuk saya tunggu dia datang menegur saya. Namun ia tidak berlaku, jadi anda perlu bertanya kepadanya sendiri!"

Apabila ditanya jika dia akan menghadiri mesyuarat Safety Commissions di masa depan, setelah tidak menghadirinya sejak Sepang tahun lalu, Rossi menjawab yang dia akan cuba untuk hadir.



No comments:

Post a Comment