Wednesday 18 November 2015

Moto Lejen : Honda CBR900RR Fireblade, Raja Superbike Era 90-an

Honda CBR900RR, juga dikenali sebagai Fireblade di sesetengah negara, ialah sebuah motosikal sport berkuasa tinggi yang diperkenalkan pada tahun 1992 oleh Honda. Ia adalah siri pertama daripada siri-siri yang seterusnya yang membawa logo RR. Pembangunan generasi pertama CBR900RR ini telah diketuai oleh Tadao Baba.

Generasi Pertama Tahun 1992

Generasi Pertama, CBR900RR diperkenalkan pada tahun 1992
Generasi pertama RR, iaitu CBR900RR telah diperkenalkan pada tahun 1992 dengan enjin berkapasiti 893 cc (54.5 cu in) empat silinder sebaris telah menetapkan satu permulaan bagi kategori light weight untuk kelas motosikal berkuasa tinggi atau superbike. CBR900RR ini sebenarnya diasaskan daripada peringkat pembangunan yang lebih maju oleh Honda pada sebuah model yang dikenali sebagai "CBR750RR". Objektif model ini ialah untuk menyamai kepantasan pecutan model-model pesaing yang menguasai kategori sport bikes. Honda telah meningkatkan strok/lejang  enjin 4 silinder sebaris model 750 cc nya dan meningkatkan kapasitinya kepada 893 cc. Melengkapkan kuasa yang menakjubkan ini ialah berat kering yang hanya seberat 185 kg, jarak roda 1,405mm dan rekabentuk badan yang hampir menyamai model pembangunan yang lebih maju. Pada keberatan 205 kg (453 lb) dengan tangki penuh, CBR900RR ini hanyalah 2 kg (4 lb) lebih berat daripada model Honda sendiri iaitu CBR600F2, dan 34 kg (76 lb) lebih ringan daripada pesaing dengan keberatan hampir sama pada masa itu, Yamaha FZR1000. 

Generasi Kedua Tahun 1994

Rekabentuk lampu hadapan "Fox Eyes" yang cukup menarik diperkenalkan pada Generasi Kedua
Beberapa perubahan dilakukan kepada generasi kedua RR, yang membuat kemunculan pada tahun 1994. Ini termasuklah penambahbaikan kadar serapan dan hentakan suspensi, pembolehubah mampatan yang telah ditambah kepada fork / suspensi hadapan, penambahbaikan pada shift drum untuk menghilangkan penukaran gear yang kasar, pertukaran cowl stay atas daripada keluli kepada aluminium dan juga penutup kepala silinder daripada aluminium kepada magnesium. Gaya rekabentuk motosikal ini juga telah menjadi lebih agresif : Lampu berkembar yang berasingan telah diubahsuai kepada lampu multi-reflector yang berbentuk tidak sekata yang kelihatan seperti mata musang dan dikenali sebagai  "fox eyes" , motosikal tersebut juga mempunyai berberapa lubang kecil yang unik pada fairing sebuah RR, sebagai tambahan ialah pemijak kaki yang lebih kecil tapi kukuh yang dipaten dan diadaptasikan dari model RC45 dan penyambung tuas pengalihan gear menggantikan pedal belakang pada model asal. Panel peralatan baru yang diperkenalkan termasuklah meter kelajuan elektronik yang menyukat kelajuan daripada penggerak gegancu, berbanding daripada roda hadapan.


Generasi Tahun Ketiga 1996 (919)

Generasi Ketiga juga diberi perubahan major dan menawarkan skim warna/grafik lebih menarik

Tahun 1996 membawa perubahan major kepada motosikal generasi ketiga CBR900RR. Di dalam usaha untuk mencapai ketegaran yang optimis dan seimbang, Honda telah mengubahsuai casis dan suspensi CBR model tahun 1996. Kerangka dan lengan ayun telah difabrikasi daripada penyemperitan (extrusions) yang lebih besar dan berdinding nipis untuk meningkatkan ketegaran kilasan. Manakala fork dan bahagian dalaman suspensi telah direka semula, dan pangsi lengan ayunnya telah dinaikkan sebanyak 5 mm (0.2 in). Ciri ergonomik telah dipertingkatkan dengan meninggikan bar hendalnya sebanyak 10 mm (0.4 in) dan memotong lima darjah daripada model terdahulu, bersama-sama tangki yang lebih kurus. Pembaharuan kepada enjin termasuklah peningkatan kapasitinya kepada 918 cc (56.0 cu in) menerusi penambahan gerek sebanyak 1 mm (0.039 in), kemampatan yang tinggi sedikit, radiator yang melengkung, ekzos yang lebih besar, plet klac yang ekstra, altenator yang lebih kecil, dan penambahan sensor bagi kedudukan pendikit. Model tahun 1996 ini kemudiannya dibawa ke tahun 1997 tanpa perubahan melainkan warna/grafik yang terkini ditawarkan.

Generasi Keempat Tahun 1998

Model Generasi Keempat ini telah menerima penambahbaikan yang ekstrem
Pada tahun 1998, Honda meneruskan usaha untuk menperhalusi penambaikan casis generasi keempat CBR900RR ini. Ia memperlihatkan ketegaran kerangkanya menghampiri model asal RR, sistem suspensi dalaman yang diperbaharui, dan triple clamp offset yang kurang 5 mm (0.2 in) (kebanyakan produk aftermarket menaiktaraf kepada model sebelumnya). Angkup brek yang baru bertindak ke atas piring-piring depan yang lebih besar, bentuk fairing telah direka semula dan pemijak kaki juga ditinggikan seterusnya menukar ergonomiknya. 8% daripada komponen dalaman enjin adalah yang terkini di dalam usaha untuk mengurangkan berat dan meminimakan geseran; lain-lain perubahan terkini termasuklah kebuk pembakaran dan peralihan yang direka semula, silinder berkomposit aluminium, piston-piston yang baru, pek klac yang lebih kecil dan ringan, nisbah kotak gear yang baru, radiator yang lebih besar, dan kemasukan ekzos daripada keluli tahan karat yang baru.

Generasi Kelima Tahun 2000 (929)

Model Generasi Kelima diperkenalkan pada tahun 2000 dengan teknologi enjin serba baru dan rupa lebih futuristik
Generasi kelima RR, juga dikenali sebagai CBR929RR telah diperkenalkan pada tahun 2000 dan mempunyai enjin 929 cc (56.7 cu in) serba baru yang mengabungkan teknologi suntikan bahan api, dimensi kepala silinder yang lebih bersegi, injap-injap yang lebih besar pada sudut yang lebih sempit, bahagian komponen dalaman yang lebih ringan serta diperbuat dari titanium sepenuhnya, dilengkapi sistem ekzos-HTEV. Casis yang "pivotless" membolehkan lengan ayun dipasang terus kepada bekas enjin dengan pendakap di bawah enjin. Suspensi dan brek yang terkini melibatkan fork depan terbalik dan kepingan piring depan bersaiz 330 mm; manakala roda depan bersaiz 16 inci telah digantikan dengan roda bersaiz 17 inci yang lebih biasa.

Generasi Keenam Tahun 2002 (954)

Legasi CBR900RR berakhir pada Generasi Keenam yang dikeluarkan pada tahun 2002
Generasi keenam model lagenda RR ini telah diperkenalkan pada tahun 2002 dan juga dikenali sebagai CBR954RR. Gerek silindernya telah ditingkatkan daripada 74 mm kepada 75 mm, seterusnya menambah kapasiti enjinnya kepada 954 cc (58.2 cu in). Penyuntik bahan api dan radiator yang lebih besar digunakan, sistem elektronik penyuntik bahan api juga telah ditala kembali, dan ECU yang lebih berkuasa telah ditambah. Rekabentuk badan dan fairing RR ini telah diubahsuai untuk kelihatan lebih tajam dan lebih aerodinamik. Kerangkanya pula telah diperkuatkan dan lengan ayun yang lebih teguh ditambah manakala pemijak-pemijak juga telah ditinggikan untuk memberi sudut miringan yang lebih ketika mengambil selekoh. Piring-pring hadapan tetap kekal bersaiz 330 mm. Manakala berat keringnya telah dikurangkan kepada 168 kg (370 lb).

Pengganti Kepada Model Lagenda CBR900RR - CBR1000RR Tahun 2004

CBR1000RR diperkenalkan bagi menyambung perjuangan yang dimulakan oleh CBR900RR 
Akhirnya setelah hampir 12 tahun (1992-2004) membawa jenama Honda di dalam kategori sportbike dan telah menerima pujian dari serata pelusuk dunia, model yang telah menjadi lagenda ini CBR900RR telah digantikan oleh model yang serba baru yang sarat dengan teknologi terkini untuk bersaing dengan pengeluar-pengeluar lain iaitu CBR1000RR pada tahun 2004.

Semoga legasi yang ditinggalkan oleh CBR900RR ini berjaya dipertahankan dan diteruskan oleh penggantinya....

Kami akan sentiasa merinduimu CBR900RR Fireblade.....

DetikMoto


1 comment: