Vinales berpeluang belajar dengan The GOAT, Rossi di Movistar Yamaha |
Secara rasminya, bintang MotoGP yang sedang meningkat naik, Maverick Vinales telah disahkan akan berpindah daripada pasukan Suzuki ke Yamaha musim depan bagi menggantikan juara dunia yang turut berpindah iaitu Jorge Lorenzo.
Suzuki berusaha keras untuk mengekalkan pelumba berusia 21 tahun itu yang ditandatangani untuk menyertai pasukan kilang Suzuki yang membuat kemunculan semula pada 2015 daripada kategori Moto2.
Kedudukan ke-12 keseluruhan ketika musim rookienya, Vinales berjaya mengatasi rakan sepasukannya yang lebih berpengalaman, Aleix Espargaro di awal musim 2016 ini, dengan kejayaan podium di perlumbaan terakhir di Le Mans - juga podium pertama untuk jentera GSX-RR.
Jentera GSX-RR yang dipertaruhkan oleh pasukan Suzuki dalam kategori MotoGP |
Namun tarikan untuk mengemudi jentera juara dunia 2015 dan berpasangan bersama juara dunia sembilan kali Valentino Rossi begitu kuat untuk dibiarkan begitu sahaja. Seperti Rossi, Vinales juga bersetuju dengan perjanjian dua tahun bersama pasukan kilang Movistar Yamaha.
"Adalah suatu yang amat mengembirakan kepada Yamaha Motor Co. Ltd untuk mengumumkan perpindahan Maverick Vinales ke pasukan Movistar Yamaha MotoGP untuk musim 2017 dan 2018," kenyataan ringkas dari Yamaha.
"Vinales, ketika ini di kedudukan ke-5 di dalam Kejuaraan MotoGP akan bergandingan dengan Juara Dunia 9 kali, Valentino Rossi yang telah mengumumkan penyambungan kontrak pada bulan Mac yang lalu.
"Maverick Vinales, dilahirkan di Figueres, Sepanyol pada 12hb Januari 1995, memulakan kariernya di dalam Kejuaraan Dunia pada 2011 di dalam kategori 125cc. Kemuncak kerjayanya termasuklah kejayaan di dalam kategori Moto 3 pada 2013 juga 3 kali anugerah 'Rookie of The Year' pada 2011 (125cc), 2014 (Moto 2) dan 2015 (MotoGP)
Walaupun Yamaha mengakui bahawa tiada sesiapa yang dapat menggantikan Lorenzo dalam masa yang singkat dari segi keputusan, Yamaha yakin Vinales adalah pendahulu bagi generasi seterusnya pelumba MotoGP.
Cukup mengagumkan sehingga dianggap sebagai bintang masa depan ketika musim rookienya, pelumba Sepanyol ini meneruskan kecermalangannya dengan menerajui ujian di litar Phillip Island, menduduki barisan hadapan ketika di Qatar dan memperolehi podium pertama kelas perdana di Perancis.
Podium pertama kategori MotoGP di GP Perancis 2016 |
Vinales, dikatakan akan menjadi juara dunia MotoGP yang pertama sejak Marquez pada 2013, namun persoalan besarnya ialah adakah dia akan melakukannya di dalam baki perlumbaannya bersama Suzuki atau perlu menunggu ketika era Yamaha.
Satu kemenangan akan menjadikannya pelumba pertama selain daripada Marquez, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, Dani Pedrosa dan Casey Stoner untuk berdiri di podium MotoGP yang teratas sejak Assen 2011, apabila Ben Spies memenangi satu-satunya kejuaraan grand prixnya.
Bagaimanapun, Vinales dikatakan mempunyai ramuan yang terbaik, beliau masih muda dan ada pengalaman untuk meneruskan penguasaan pasukan kilang Yamaha , dengan jangkaan Rossi akan bersara di penghujung musim 2018.
Adakah Rossi akan mewariskan ilmunya kepada Vinales sebelum bersara? |
Bagi pasukan Suzuki, mereka bertindak segera bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Vinales dengan menandatangani Andrea Iannone, pelumba Itali ini kehilangan tempatnya di pasukan kilang Ducati setelah Ducati mengekalkan Andrea Dovizioso berpasangan dengan Lorenzo bagi musim 2017.
No comments:
Post a Comment