Sunday, 29 May 2016

Moto Lejen : Ducati 916 Model Ikonik Sepanjang Zaman

Model ikonik Ducati 916 yang menjadi lagenda sepanjang zaman
Ducati 916 ialah jentera sport yang dihasilkan oleh Ducati bermula tahun 1994 sehingga 1998. Ia bagi menyaingi pesaing-pesaing daripada negara matahari terbit, Jepun yang ketika itu menghasilkan jentera 4 silinder sebaris. Benar, jentera Ducati 916 menggunakan enjin berkembar-V yang kurang berkuasa namun menghamburkan kekuatan tork yang lebih baik. Model ikonik Ducati 916 ini akhirnya digantikan dengan model 996 pada tahun 1999.

Model 996 meneruskan legasi hebat yang dicipta model 916
Pada asalnya pembangunan pertama keluarga model Ducati 916 ini boleh dilihat kepada pembangunan enjin 4 injap Ducati yang dikenali sebagai Desmoquattro, melalui program pembangunan dan perlumbaan model yang lebih awal iaitu Pantah, model jalanan yang dikenali sebagai model 851 dan 888.

Model 851 memulakan evolusi rekaan enjin Desmoquattro
Model 888 adalah model terdahulu sebelum 916
Ketua rekabentuk motosikal Ducati sejak era 1970-an adalah Fabio Taglioni (1920-2001). Beliaulah yang memperkenalkan model Pantah pada tahun 1979; di mana enjinnya kemudian dikemaskini pada era 90-an di dalam siri SuperSport (SS) dan kemudiannya keseluruhan enjin moden Ducati diolah daripada enjin Pantah, di mana ia menggunakan aci sesondol untuk tugas membuka dan menutup injap-injap yang terdapat di enjin, menggantikan penggunaan spring-spring untuk operasi menutup injap, dan sistem ini dikenali sebagai 'desmodromic'. Taglioni bagaimanapun tidak berminat dengan rekaan kepala enjin yang mempunyai 4 injap, jadi perkara ini diserahkan kepada penggantinya. Akhirnya penggantinya iaitu Massimo Bordi telah merekabentuk enjin berkembar-V dengan 8 injap.

Enjin Desmoquattro bukti kehebatan kejuruteraan Ducati
Direka oleh Massimo Tamburini dan Sergio Robbiano dan pasukannya di Cagiva Research Centre (CRC) di San Marino, enjin sejukan cecair 916 adalah pengubahsuaian daripada enjin yang terdahulu milik 888, dengan kapasiti yang lebih besar serta sistem pengurusan enjin yang baru. Kapasiti yang lebih besar diperolehi dengan pertambahan lejangnya daripada 64 mm kepada 66 mm, namun mengekalkan saiz gerek yang sama seperti model 888 iaitu 94 mm yang menghasilkan kapasiti 916 cc. Ketika model 916 diperkenalkan enjin Corse terakhir 851/888 juga mempunyai saiz gerek yang sama iaitu 96 mm namun terhad untuk tujuan 'perlumbaan sahaja' yang memberi kapasiti 926 cc dan 955 cc.

Kod  916 diambil daripada sesaran enjin berkapasiti 916 cc
Dari segi saiz, Ducati 916 sebenarnya motosikal yang lebih kecil berbanding dengan 888, menggunakan kerangka chrome-moly trellis yang dikongsi bersama 'adiknya' Ducati 748 pada tahun 1995 dan seterusnya. Kerangka ini digabungkan dengan rekabentuk badan yang baru dan menarik dengan garisan yang lebih agresif.

Model lebih kecil Ducati 748 muncul sebagai  lagenda kategori supersport
Falsafah di sebalik rekaan Ducati 916 ialah mencari keseimbangan di antara rupa dan fungsi :
  • Lengan ayun sebelah yang dipasangakan pada model ini sangat menarik. Bukan sekadar cantik namun membantu penukaran roda belakang dengan lebih pantas dalam situasi perlumbaan.
Rekaan 'out of the box' lengan ayun sebelah
  • Ekzos berkembar yang terletak di bawah pelana menambah keupayaan aerodinamik, memberikan rekaan yang kemas. Walaupun ciri ini mula diperkenalkan oleh Honda melalui model Honda NR dan Ducati bukanlah perintisnya namun ia terus kekal sebagai ciri peribadi model 916.
Satu lagi rekaan yang hebat, ekzos Termignoni berkembar di bawah pelana
Lampu depan berkembar diwarisi juga oleh model terkini Ducati Panigale
Terdapat komentar wartawan permotoran walaupun Ducati 916 ialah "salah-satu model paling berpengaruh dalam dunia motosikal sejak 20 tahun lalu", namun rekaannya diambil daripada Honda NR750, dengan elemen-elemen hampir serupa iaitu ekzos di bawah pelana, 'pinggang yang ramping', lampu bersegi hadapan berkembar, dan juga lengan ayun sebelah yang memegang tayar belakang bersaiz besar.

Rekaan Ducati 916 mengambl inspirasi daripada Honda NR750
Di antara reaksi lain wartawan-wartawan permotoran tentang Ducati 916 ialah :

"Khabar paling gempar tahun 1994, ialah kehadiran jentera yang mengemparkan iaitu Ducati 916. Jentera ini menggunakan kapasiti enjinnya 916 cc sebagai kodnya sendiri dan dicapai dengan meningkatkan lejang model 888 daripada 64 kepada 66 mm. Ini semua hasil kerja oleh Massimo Tamburini, yang diiktiraf sebagai antara pereka motosikal yang terhebat dipenghujung abad ke-20 - sudah tentu layak. Ramai peminat di seluruh dunia, namun 916 bukannya superbike yang terkini, namun masih yang terbaik pernah dihasilkan. Ia bukan sahaja menetapkan tahap baru untuk keupayaan, pengendalian dan kebolehan membrek tetapi ia juga penuh gaya dan karisma. Ducati 916 ini telah merubah senario jentera-jentera sport sama seperti yang dilakukan oleh model Suzuki GSX-R750 sedekad lebih awal."

Ducati 916 mewarisi kehebatan Suzuki GSX-R 750 yang muncul sedekad lebih awal
"Siapa boleh lupakan tahun 1994 apabila Ducati menggemparkan dunia dengan 916 yang mengagumkan? Ia satu lagi inspirasi daripada Ducati yang merevolusikan kategori motosikal sport. Dengan 916 datangnya teknologi dan gaya, keupayaannya dan simetrinya mencapai tahap paling maksimum. Mendapat pengiktiran daripada majalah-majalah motosikal seluruh dunia sebagai 'Motosikal Terbaik Tahunan' dan banyak lagi pujia-pujian."

Muncul buat pertama kalinya pada 1994, model Ducati 916 dikagumi kerana rekabentuk yang segar dan ciri-ciri teknikal yang hebat. Ketika diperkenalkan, Ducati 916 diiktiraf dengan memenangi hampir seluruh anugerah Motosikal Tahunan 1994  majalah motosikal dan yang paling menakjubkan ialah kesemua modul produksi tahun pertamanya untuk pasaran USA habis terjual walaupun belum ada satu model pun sampai ke sana.

Model SENNA keluaran khas lagenda Formula 1, mendiang Aryton Senna
Pada Disember 1994, di Bologna Motor Show model istimewa Ducati 916 Senna diperkenalkan buat pertama kalinya. Ia sebagai mengenang bekas Juara Dunia Formula 1, Ayrton Senna yang merupakan pemilik tegar Ducati dan membenarkan penghasilan model istimewa ini hanya 2 bulan sebelum kematiannya pada Mei 1994. ketika itu, projek ini dimulakan atas inisiatif pemilik Ducati iaitu Claudio Castiglioni yang merupakan sahabat kepada lagenda F1 itu. Secara keseluruhannya, di antara 1995 dan 1998, Ducati telah mengeluarkan tiga model edisi "Senna", dengan setiap dari keuntungan disalurkan kepada badan kebajikan Instituto Aryton Senna.

Ahli sukan terkenal dan berhati murni, Juara F1 Aryton Senna dari Brazil
Di dalam dunia perlumbaan Ducati telah memenangi 4 gelaran Juara Dunia Superbike dengan Ducati 916 pada 1994-1996 dan pada 1998, dengan pelumba handalan mereka iaitu Carl Fogarty dan Troy Corser. Fogarty memenanginya sekali lagi pada 1999, dengan model 996 yang menggantikan 916 dan sekali lagi pada 2001 dengan Troy Bayliss juga dengan model 996. Ducati juga memenangi Kejuaraan Pengeluar di setiap tahun tersebut termasuk pada tahun 2000.

TahunPelumbaKejayaanJenteraKejuaraan Pengeluar
1994Carl Fogarty11Ducati 916Ducati
1995Carl Fogarty13Ducati 916Ducati
1996Troy Corser7Ducati 916Ducati
1998Carl Fogarty3Ducati 916Ducati
1999Carl Fogarty11Ducati 996Ducati
2000(Colin Edwards)(7)(Honda RC51)Ducati
2001Troy Bayliss6Ducati 996Ducati

Ducati menguasai perlumbaan superbike dunia dengan model 916 dan 996
Model perlumbaan 996 Juara Kejuaraan Superbike Dunia 2001
Akhirnya model 916 kemudiannya digantikan oleh model 996 dan 998 dengan rekabentuk yang sama namun dengan enjin yang dipertingkatkan dan lebih berkuasa.

Model 998s dengan rekabentuk sama tapi kuasa berbeza
Massimo Tamburini akhirnya merekabentuk model MV Agusta F4, jentera yang dilihat sebagi penggantinya untuk rangkaian 916, di mana ia berkongsi persamaan dengan 916 terutamanya di bahagian ekor. Kedua-dua rekaan Tamburini ini dipamerkan di  Muzium Guggenheim pada pameran The Art of the Motorcycle pada 1998. Mendiang yang meninggal dunia pada usia 70 tahun memberi kesan mendalam kepada dunia rekaan motosikal.

Massimo Tamburini menghasilkan 2 rekaan terbaik sepanjang zaman MV Agusta F4 dan Ducati 916
Semoga pengganti kepada Massimo Tamburini mampu menghasilkan sebuah lagi lagenda seperti Ducati 916.

No comments:

Post a Comment