Musim 2015 ialah musim paling menakjubkan bagi Juara Dunia 9 kali, Valentino Rossi |
"Saya rasa Rossi telah melakukan sesuatu yang menakjubkan... Bagi saya ini mungkin musim terbaik baginya, walaupun dia tidak memenanginya" - Herve Poncharal.
Valentino Rossi mungkin terlepas gelaran MotoGP tahun ini pada pusingan terakhir, namun ia mungkin musim terbaiknya sepanjang 20 tahun kariernya.
Itulah pandangan oleh Herve Poncharal, ketua pasukan satelit Yamaha, pasukan Tech 3, yang merasakan kedua-duanya iaitu Rossi dan rakan sepasukannya di Movistar Yamaha, Jorge Lorenzo berhak ke atas mahkota kejuaraan.
Herve Poncharal, ketua pasukan satelit Yamaha, Tech 3 |
Mengejar gelaran juara dunia pada usia 36, Rossi memulakan tahun ini dengan kejayaan di Qatar dan tidak kehilangan mata pendahuluan sehingga perlumbaan terakhir di Valencia bulan lepas.
Rossi memulakan musim 2015 dengan memenangi GP Qatar |
"Pertama sekali Yamaha telah melakukan kerja yang menakjubkan. Mereka mendominasi kejuaraan melalui satu cara yang tidak pernah terjadi bertahun lamanya," kata Poncharal. "Semua orang fikir ia akan menjadi sukar bagi Yamaha. Qatar adalah salah satu, apabila Marc Marquez menghadapi masalah di lap pertama, namun selepas itu Yamaha berada di hadapan dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan."
Pasukan kilang Yamaha Movistar memenangi 11 daripada 18 perlumbaan musim 2015 |
Yamaha memenangi enam perlumbaan pertama dan telah memenangi sebelas daripada 18 perlumbaan, termasuk menyapu bersih gelaran pelumba, pasukan dan pengeluar. Lorenzo memenangi perlumbaan terbanyak (7), mendahului setiap lap pada setiap perlumbaan, sementara Rossi meraikan kedudukan podium terbanyak (15) dan memperolehi mata dalam setiap perlumbaan.
"Pada saya Jorge jelas yang terpantas. Namun yang terpantas tidak selalunya menang dan dia hampir kehilangan kejuaraan ini, kerana untuk menjadi seorang juara dunia anda perlu menghadapi segalanya," jelas Poncharal. "Ini bermaksud untuk menjadi terpantas pada satu lap dan juga pantas sepanjang perlumbaan - sepertimana ditunjukkannya - namun masih perlu berhadapan dengan tekanan dan juga faktor-faktor luar seperti cuaca.
"Mungkin ini titik kelemahan Jorge, namun jelas dari segi kepantasan dan melihat kepada jumlah lap dia mendahului, berapa banyak lap terpantas dan cara dia menunggang ketika dia memenangi empat perlumbaan berturut-turut...Dia cuma terus pergi. Saya masih ingat kejayaannya di Czech Republic, wow. Jadi bagi saya dia memang layak memenangi gelaran ini.
"Walaupun demikian, saya merasakan Rossi telah melakukan sesuatu yang menakjubkan, sejujurnya. Dia kini berusia 36 tahun setengah. Untuk bersaing dengan Marquez, Lorenzo - juga Pedrosa dan Iannone kadang-kadang - dengan 10 atau 15 tahun lebih tua daripada mereka adalah amat menakjubkan.
Pada usia 36 tahun, Rossi terpaksa bersaing dengan pencabar yang jauh lebih muda |
"Saya berusia hampir 60 tahun. Saya bagaimana rasanya ketika berusia 20 tahun. Begitu juga ketika berusia 30-35 tahun. Saya tahu perbezaannya! Untuk melakukan apa yang dia lakukan pada usianya. Untuk mempunyai kemungkinan berjuang bagi gelaran juara sehingga perlumbaan terakhir - di mana dia mendapat motivasi yang sebegitu, untuk mengambil risiko, untuk terus menekan, untuk begitu bermotivasi? Saya tidak tahu.
"Bagi saya ini adalah musim terbaik untuk Rossi, walaupun dia tidak memenangi juara dunia.
"Hampir semua orang fikir apabila Rossi [patah kaki] kemalangan di Mugello pada 2010, detik sukar di Ducati dan kedatangan pencabar muda seperti Jorge dan Marquez, "Rossi mungkin yang terbaik, tetapi masanya telah berlalu."
"Apa yang dia lakukan pada tahun ini menakjubkan. Memang saya katakan Jorge layak memenangi gelaran, namun bagi saya mereka setara.
Rossi atau Lorenzo, kedua-duanya layak menjadi Juara Dunia musim 2015 |
"Mereka berdua layak memenangi gelaran juara dunia. Namun melihat kepada sejarah dan keadaan, ia adalah prestasi menakjubkan daripada Rossi dan dia perlu berbangga dengan apa yang dilakukannya tahun ini."
Rossi, dengan gealaran terakhir MotoGP pada tahun 2009, menamatkan musim ini hanya lima mata di belakang Lorenzo.
Tiada salam dihulurkan di antara kedua-dua rakan sepasukan tersebut selepas perlumbaan. Rossi - bermula di petak terakhir di grid setelah dikenakan penalti akibat kemalangan di Sepang bersama Marquez - mendakwa pelumba Honda tersebut membantu Lorenzo di perlumbaan penutup musim tersebut.
DetikMoto
No comments:
Post a Comment