![]() |
BMW G310R naked bike dari BMW bakal muncul pada tahun 2016 |
BMW ialah sebuah jenama yang cukup terkenal di dalam dunia
permotoran terutamanya di dalam segmen kenderaan mewah. Kini melalui divisyen
yang bertanggungjawab terhadap jentera dua roda, BMW Motorrad mereka mula
mengorak langkah untuk mengukuhkan jenama mereka di dalam kalangan penggemar
dan peminat motosikal.
Pada tahun 2015, BMW Motorrad Malaysia telah manampilkan
model-model terkini dengan harga mampu milik yang menyebabkan peminat motosikal
berkuasa tinggi mahupun yang baru berjinak-jinak berfikir dua kali untuk tidak
memiliki jenama ini.
Model seperti S1000RR (RM108,900), S1000R (RM89,900),
R1200R (RM98,900), R1200RS (RM101,900) dan S1000XR (RM112,900)
dengan harga asas termasuk GST tanpa insurans sudah mampu memikat peminat
sediada ataupun peminat baru. Tambahan pula disokong oleh pembiayaan kewangan
daripada BMW Credit (M) Financing Solution.
Bagi kelas pertengahan pula BMW Motorrad telah membawa masuk
dua model yang dipasangkan di kilang BMW Thailand yang terletak di Rayong.
Model-model tersebut ialah F700GS (RM56,900) yang dikenali sebagai model
enduro dan model roadster iaitu F800R
(RM49,900) dan F800R Sport (RM53,500) bagi menambah pilihan kepada
barisan model-model sediada.
Namun BMW Motorrad tentu sedar bahawa tidak semua mampu atau
bersedia untuk memiliki model-model sepertimana di atas. Oleh yang demikian
mereka telah menjalinkan satu kerjasama dengan sebuah syarikat dari India iaitu
TVS untuk membangunkan jentera dengan sesaran terkecil iaitu BMW G310R.
Tidak perlu risau! Ini kerana G310R tetap
direkabentuk di Munich, Jerman cuma untuk memastikan ia dapat dipasarkan pada
harga yang kompetitif maka produksinya dijalankan di kilang TVS terletak di
Bangalore, India namun masih menggunakan mesin-mesin yang diimport dari Jerman
dan tenaga kerja juga telah dilatih khas.
Model ini dijangka akan menjengah pasaran pada tahun 2016.
Ia akan dijana oleh enjin bersaiz kecil iaitu 313cc. Enjin satu silinder dengan
penyejukan cecair itu boleh menghasilkan kuasa maksimum pada 34hp pada 9,500
rpm. Torknya pula sekuat 27.9Nm pada 7,500 rpm. Ia bakal dilengkapi dengan
transmisi manual 6-kelajuan dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 144
km/j.
BMW memang terkenal dengan kenderaan yang direka bagi
memperolehi tahap penjimatan bahan bakar yang efisien. Bagi G310R ini,
kecekapan bahan bakarnya ialah 36.05 kilometer bagi 1 liter petrol. Kapasiti
yang boleh dimuatkan di dalam tangkinya pula ialah sehingga 11 liter. Ini juga
dibantu oleh keberatannya yang hanya 158.5 kilogram berat bersih.
Bagaimana dengan rekaan bentuk badannya? G310R cukup
bertuah kerana memiliki ‘abang-abang’ yang boleh dijadikan contoh. Model-model
seperti S1000R dan R1200R banyak mempengaruhi rekabentuk G310R. Sebagai
contoh, sudut sisi panel G310R sama seperti S1000R manakala lampu
depannya pula mengambil rekaan R1200R.
![]() |
G310R mengambil inspirasi daripada lampu utama R1200R |
![]() |
Sudut sisi panel G310R mengambil tips dari rekaan S1000R |
Sepertimana model pesaingnya seperti KTM Duke, fork hadapan
jenis terbalik digunakan pada G310R dengan saiz 41mm bersama fork travel
140mm. Kuasa membrek juga tidak diabaikan iaitu dengan system angkup brek
4-piston dan sistem ABS dijadikan standard.
Seperti kebanyakan model-model pesaing, G310R tidak
ketinggalan untuk menggunakan tubular keluli pada bahagian casis yang dapat
merendahkan kos namun mempunyai ketahanan jika kemalangan. Bingkainya juga
digabungkan dengan lengan ayun daripada aluminium yang panjang.
Pemilihan roda cukup penting bagi mendapatkan rupa yang
menarik. Oleh itu G310R ini dilengkapi dengan rim lima jejari bersaiz 17
inci. Saiz tayar depan ialah 110/70 manakala tayar belakang pula ialah 150/60.
Pemilihan rim yang tepat menampakkan model ini lebih gagah.
Ketinggian pelananya pula ialah 785mm dan pembeli diberi
pilihan aksesori pelana bermula daripada 750mm sehingga 815mm bagi memudahkan
tunggangan dan pengendalian. Bagi yang menggunakannya untuk perjalanan ke
pejabat mahupun perjalanan jauh terdapat aksesori tambahan pilihan seperti
kotak simpanan, ruang simpanan, indicator LED dan soket pengecas 12V.
Model-model keluaran BMW pastinya ditawarkan dengan skim
warna dan grafik yang menarik. G310R ini juga tidak terkecuali di mana
terdapat warna hitam dan putih dengan kemasan perak. Juga warna kegemaran ramai
iaitu biru dan kelabu serta putih mutiara namun dengan pertambahan kos.
![]() |
Warna Hitam dan Putih dengan kemasan Perak |
![]() |
Warna Putih Mutiara |
![]() |
Warna Biru |
Model ini kini di pamerkan di Pameran Motor Itali, EICMA.
DetikMoto
No comments:
Post a Comment