Wednesday 8 June 2016

MotoGP : Ketua Krew Lorenzo Kekal Di Yamaha Bersama Vinales

Ramon Forcada menganugerahkan 3 Kejuaraan MotoGP kepada Lorenzo
Ketua krew Lorenzo di Yamaha iaitu Ramon Forcada tidak akan berpindah bersama Juara Dunia itu ke pasukan Ducati untuk musim depan sebaliknya kekal di Movistar Yamaha dengan pelumba yang baru ditandatangani Maverick Vinales.

Penuh pengalaman, Forcada pernah bekerjasama dengan John Kocinski, Alex Barros dan Casey Stoner sebelum bersama-sama Lorenzo pada 2008, apabila pelumba muda Sepanyol itu menyertai MotoGP dengan Yamaha.

Bersama-sama mereka telah memenangi 43 perlumbaan MotoGP dan tiga kejuaraan dunia.

Namun kerjasama mereka akan berakhir di Valencia pada November ini, apabila Lorenzo memulakan lembaran baru di dalam kariernya di Ducati dan Forcada akan mula bekerjasama dengan bintang meningkat naik Vinales daripada pasukan Suzuki.

"Ramon memutuskan untuk kekal di Yamaha bersama Maverick," Lorenzo mengesahkannya setelah berakhirnya ujian di Catalunya pada Isnin. "Mungkin anda perlu bertanya kepadanya tentang sebabnya - dia beritahu saya mungkin dia sudah berusia dan telah sekian lama di dalam kejuaraan dunia ini dan dia lebih selesa kekal bersama pasukan yang sama.

"Kami berbincang tentangnya [Ducati], dan saya sendiri tidak mahu terlalu memaksa kerana setiap orang berhak mengambil keputusannya sendiri. Saya okey dengannya, dan sudah tentu mereka [Forcada dan Vinales] akan membentuk gandingan yang baik; pelumba muda dan juruteknik yang berpengalaman."

Walaupun menolak tawaran untuk berpindah bersamanya ke Ducati, Lorenzo tetap memuji keupayaan Forcada.

"Ramon bagi saya ialah jika bukan yang terbaik pasti salah seorang yang juruteknik suspensi yang terbaik. Dia mempunyai banyak pengalaman. Dia telah menjadi Juara Dunia sebanyak tiga kali. Sudah tentu Maverick akan boleh belajar banyak daripada pengalamannya dan gerak kerja yang kami lakukan selama ini."

Krew Lorenzo memutuskan untuk kekal di Movistar Yamaha
Bukan sahaja ketua krew, Lorenzo mungkin mempunyai satu pasukan mekanik  serba baru di Ducati. Juara Dunia bertahan itu faham bahawa ianya keputusan yang sukar untuk kedua-dua ahli pasukannya kini dan majikan masa depannya.

"Yamaha sangat profesional dan melatih orang mereka dengan cukup baik. Bukannya mudah untuk mereka yang terlibat untuk mengambil cabaran baru, seperti yang saya lakukan. Juga ianya sukar bagi Ducati kerana mereka ingin mengekalkan satu pasukan yang sekecil mungkin, dan ia cukup rumit kerana ia sebuah jentera yang istimewa.

"Jadi marilah kita sama-sama lihat bagaimana pasukan saya [Ducati] akan dibentuk pada masa depan. Sedikit demi sedikit saya akan cuba memperbaikinya satu persatu. Saya mempunyai masa, 10-11 perlumbaan untuk saya menentukan pasukan saya. Namun saya fikir ia akan menjadi satu pasukan yang kompetitif sepertimana yang saya miliki sehingga tahun ini."

Kehadiran Lorenzo ke Ducati akan berbeza dengan apa yang pernah dilakukan oleh rakan sepasukannya Valentino Rossi yang membawa hampir semua krew bersamanya daripada Yamaha pada penghujung 2010.

Jadi apa pendapat Rossi tentang Forcada dan mekanik-mekanik yang setia bersama Yamaha?

"Bagi saya setiap pelumba mempunyai kisah yang berbeza dan apabila anda berusaha membawa pasukan anda bersama ketika bertukar pasukan, anda akan mempunyai sedikit kekurangan dan juga sedikit kelebihan," ujar pelumba Itali ini. "Tapi ia sebenarnya sesuatu yang sangat peribadi. Anda rasakan yang anda ingin ia kekal sama, atau memang baik untuk bertukar.

"Bagi saya Ramon ialah seorang yang sangat hebat, penuh berpengalaman dan sentiasa memberi yang terbaik. Namun dari sudut yang lain, Ducati ialah sebuah jentera yang sangat berbeza, jadi dengan mempunyai satu pasukan yang telah biasa dengan jentera tersebut adalah cukup penting pada saya."

Cristian Gabarrini bakal ketua krew pasukan Lorenzo di Ducati
Kedengaran berita yang mengatakan Cristian Gabarrini iaitu bekas ketua krew Casey Stoner di Honda dan Ducati akan memikul tanggungjawab itu di Ducati untuk Lorenzo. Sekarang Gabarrini bekerjasama dengan Jack Miller di Marc VDS.


No comments:

Post a Comment