Wednesday, 18 November 2015

MotoGP : Kenapa Repsol Honda Lembab Di Awal Musim 2016?

Pedrosa dan Marquez bermula lembab di awal musim tetapi kembali bangkit di penghujung musim
VALENCIA – Naib Presiden Repsol Honda, Shuhei Nakamoto berkata, kegagalan pasukan tersebut musim ini adalah disebabkan masalah enjin dan ia dikesan sebelum perlumbaan pertama lagi.

Nakamoto mengakui pihaknya sudah menyedari 2015 adalah musim yang cukup sukar buat pasukan itu ketika menjalani sesi ujian pramusim di Litar Sepang pada Februari yang mana Honda telah menguji enjin yang telah diubah suai setelah mendapat kritikan di sesi latihan di Valencia penghujung tahun lepas.

Maklum balas yang kami diterima hasil sesi ujian di Valencia itu mendapati enjin jentera semakin sukar dikawal, suhu naik secara mendadak selain tidak begitu agresif.

“Keputusan pada saingan MotoGP tahun ini tidak memenuhi jangkaan kami. Isu paling teruk adalah suhu ekstrem pada enjin,” katanya.

Penunggang Honda, Dani Pedrosa dan bekas juara dunia dua kali berturut-turut, Marc Marquez menghadapi masalah brek yang tidak cengkam di selekoh hampir keseluruhan litar musim ini.

“Saya masih ingat tahun lalu pada sesi latihan di sini (Valencia), Marquez dan Pedrosa tidak begitu gembira dengan prestasi enjin kami. Kuasa enjin lebih baik daripada sebelumnya tetapi karakter sampingan telah menyukarkan jentera untuk bersaing.

“Selepas itu kami melakukan pengubahsuaian dan enjin tersebut dibawa ke Sepang untuk ujian dan pelumba kami seronok kerana ia menepati citarasa mereka.

“Namun, anda tahu suhu di Sepang sangat tinggi. Kebiasaannya enjin akan kehilangan kuasa pada suhu tinggi menjadikannya tidak begitu agresif.

“Kami tidak mengujinya dalam keadaan cuaca lain dan mengambil keputusan menggunakan spesifikasi di Sepang menyebabkan kami berdepan masalah sepanjang musim ini,” kata Nakamoto.

Peraturan MotoGP tidak membenarkan enjin diubah suai ketika musim berlangsung menyebabkan Honda tidak mampu melakukan perubahan yang mampu mengubah keseluruhan struktur enjin berkenaan.

DetikMoto

No comments:

Post a Comment