Tuesday, 10 November 2015

MotoGP : Rossi : 2016 Musim Yang Berbeza

Rossi kekal bersama Yamaha musim 2016 dan akan membuat keputusan bagi musim 2017
Valentino Rossi menegaskan bahawa dakwaan dan tuduhan yang menyelubungi penamat MotoGP musim 2015 tidak akan menjejaskan kempennya bagi tahun hadapan.

Pelumba Itali itu berkeras yang Marc Marquez membantu Jorge Lorenzo ketika tiga pusingan akhir termasuk pelumbaan akhir musim pada Ahad lepas di Valencia, di mana Lorenzo merebut gelaran daripada Rossi dengan lima mata.

Juara dunia sembilan kali, Rossi akan kekal di Yamaha bersama-sama Lorenzo pada musim depan apabila MotoGP memasuki era baru dengan penggunaan tayar Michelin dan sistem kawalan ECU. Ini akan bermula secara rasmi pada Selasa di ujian pra-musim Valencia.

"Sekarang cerita ini (kontroversi) sangat 'panas', tetapi secara jujurnya untuk musim depan berberapa perkara akan menjadi lebih penting, terutamanya motivasi untuk mencuba sekali lagi," kata Rossi. "Saya tidak terlalu bimbangkan musim depan. Maksud saya, cerita ini tidak akan mengubah rancangan saya. Saya telah menandatangani kontrak dengan Yamaha. Ketika menandatanganinya saya merancang untuk berlumba sekurang-kurangnya dua musim dan saya fikir tahun ini saya kompetitif. Saya melakukan tugas yang baik. Jadi saya akan cuba mengulanginya musim depan."

Kini sebagai pelumba paling tua di grid, Rossi akan berusia 37 tahun pada permulaan kejohanan dunia musim depan.

"Di antara 36 dan 37 tidak jauh berbeza saya fikir. Jadi tahun depan saya boleh beraksi seperti biasa, namun ia akan bergantung kepada motivasi dan kesesuaian jentera Yamaha dengan tayar Michelin. Namun secara jujurnya tahun depan adalah cerita yang berbeza. Saya akan mencuba seperti biasa dan selepas itu saya akan membuat keputusan (tentang musim 2017)."

Rossi mengaku adanya masalah yang mengerunkan - terutamanya beberapa siri kegagalan tayar depan -belakang - disebabkan karekter yang berbeza oleh Michelin berbanding tayar Bridgestone.

"Ujian pertama bersama Michelin merisaukan kami. Kelihatan jentera kami tidak seimbang dengan baik bersama tayar-tayar tersebut. Tapi saya fikir dan berharap ia hanya menunggu masa untuk mendapatkan perlarasan untuk Michelin berfungsi pada M1."

2015 menandakan ini adalah kali kedua Rossi terlepas gelaran MotoGP di pusingan akhir.

No comments:

Post a Comment