Wednesday, 11 November 2015

MotoGP : Lorenzo : Saya Lebih Baik Dari Segenap Sudut Berbanding Rossi

Lorenzo meraikan kejayaan memenangi GP Valencia dan merangkul takhta Juara Dunia MotoGP 2015
Juara Dunia MotoGP yang baru dimahkotakan Jorge Lorenzo berkata dia lebih baik daripada pencabar gelaran dan juga rakan sepasukan Valentino Rossi dalam setiap aspek setelah dia mengapai gelaran ketiganya di kelas utama pada musim ini.

Pelumba Movistar Yamaha itu memenangi perlumbaan akhir di Valencia, Sepanyol untuk gelaran dunia kelimanya, mendahului dari awal hingga akhir walaupun di bawah tekanan daripada pasangan Repsol Honda, Marc Marquez dan Dani Pedrosa untuk mengesahkan kejuaraan dengan kelebihan lima mata.

Lorenzo menolak andaian bahawa kejayaannya ini dicemari oleh kontroversi yang menyelubungi permusuhan di antara Rossi dan Marquez, dengan bintang Itali itu menyalahkan pelumba berusia 22 tahun itu membantu menjamin Lorenzo takhta kejuaraan dunia dengan bertindak sebagai 'pengawal peribadi' di perlumbaan akhir musim, merujuk kepada kegagalan Marquez untuk cuba melakukan tindakan memintas sebagai bukti kepada teori konspirasinya.

Bagaimanapun, Lorenzo yang berusia 28 tahun berkeras bahawa kejayaannya tidak dicemari oleh kejadian yang tidak diingini musim ini dan berkata statistik dalam mengharungi kejuaraan ini membuktikan bahawa dia adalah pelumba yang hebat dan juara yang sebenar.

"Saya rasa gelaran juara dunia bukan sahaja untuk Raja Sepanyol, tapi saya percaya saya berhak untuk gelaran juara dunia ini kerana jika anda melihat kepada statistik berbanding pencabar kami, kami mengatasi mereka dari segala segi,- jumlah kemenangan, kedudukan petak utama, pusingan terpantas, pusingan mendahului perlumbaan, mendahului sesi latihan - dalam segalanya," ujar Lorenzo.

"Kami hanya dikalahkan oleh mereka daripada jumlah podium dan juga di dalam keadaan di litar-litar ketika hujan dan apabila saya tidak berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama atau kedua, ketika hujan dan saya tidak mendapat keputusan terbaik.

"Permulaan musim ini teruk dan ia menghalang saya untuk tiba di Valencia dengan kelebihan 20,30 atau mungkin 40 mata di hadapan," Lorenzo menambah.

"Ianya jelas, mereka yang mengenali jentera-jentera kami, mereka yang melihat saya di litar dan televisyen yang tidak menyokong mana-mana pelumba akan dapat melihat semua perkara ini.

"Namun atas sebab-sebab yang berbeza kami ketinggalan tujuh mata di belakang Valentino dan dengan tekanan yang tinggi saya mempamerkan yang saya boleh menangani [tekanan itu] untuk memberikan yang terbaik, seperti yang saya lakukan tempoh hari [pusingan kelayakan] dan di dalam perlumbaan dengan dua pelumba Honda yang begitu pantas, terutamanya menuju ke akhir perlumbaan."

Lorenzo memberitahu saluran Movistar MotoGP TV selepas perlumbaan Ahad bahawa Marquez dan Pedrosa yang juga rakan senegaranya [Sepanyol] telah 'membantunya' ketika perlumbaan dengan berkata: "Mereka tahu apa yang sedang saya pertaruhkan. Fakta bahawa mereka rakyat Sepanyol membantu saya. Ia membantu saya kerana jika di perlumbaan lain mereka akan cuba memintas, di mana mereka tidak melakukannya kali ini.

"Jika Valentino berada di kedudukan saya bersama-sama pelumba Itali di belakangnya, mereka pasti akan melakukan perkara yang sama. Gelaran ini mesti menjadi milik Sepanyol."

Diminta untuk menjelaskan komennya di dalam sidang akhbar selepas perlumbaan, beliau menarik kembali kata-katanya, menyatakan yang dia membuat komen tersebut tanpa memahami sepenuhnya bagaimana keadaan perlumbaan sebenar berlaku kepada Marquez dan Pedrosa.

"Saya boleh kekal teguh dan menamatkan perlumbaan dengan kemenangan, jadi benarlah apa yang saya katakan di permulaan temuramah [mengandaikan bahawa Marquez dan Pedrosa membantunya menang dengan tidak memintas] tetapi saya tidak dapat melihat perlumbaan tersebut dari luar, hanya mengetahui kesukaran yang perlu saya hadapi untuk menjaga tayar belakang, terutamanya di sebelah kanan dan memasuki '32.0, '32.2 yang saya tidak jangkakan," ujar Lorenzo.

"Saya hanya dapat merumuskan [bahawa Marquez dan Pedrosa hanya bertahan], tapi sejujurnya Dani dan Marc telah menjelaskannya dengan cukup baik; ramai melihat perlumbaan itu dari luar dan saya tiada pendapat yang jelas mngenainya dan saya hanya perlu percaya apa yang telah dikatakan,"

Lorenzo juga menekankan tentang jurang masa hampir 20 saat di antara tiga pelumba paling depan dengan Rossi di kedudukan keempat, mengesyorkannya sebagai kedudukan terbaik yang boleh dicapai oleh pelumba berusia 36 tahun ini samada bermula dari petak terakhir di grid atau tidak.

"Anda boleh melihat kepada klasifikasi dan Valentino tidak kehilangan apa-apa, hanya untuk mencuba sehingga had risiko, tetapi dia menamatkan perlumbaan 20 saat di belakang kami," kata beliau.

"Dengan jentera saya, ia tidak mudah untuk kekal dengan kelajuan ini sepanjang perlumbaan, tetapi saya telah melakukannya dan pada saya kelajuan dan keinginan yang saya pamerkan menunjukkan bahawa kami layak memenangi kejuaraan ini, jadi saya berharap semua orang akan menghormati keputusan akhir kejuaraan ini."

DetikMoto


No comments:

Post a Comment