![]() |
Rossi 'membidas' Marquez yang didakwa melindungi Lorenzo di GP Valencia |
Penunggang skuad MotoGP Movistar Yamaha, Valentino Rossi menyifatkan perbuatan Marc Marquez membantu Jorge Lorenzo memenangi gelaran juara dunia musim ini sebagai tindakan yang sangat memalukan sukan perlumbaan itu.
Meskipun Rossi merapatkan kedudukan di tempat keempat, Lorenzo bagaimanapun merampas takhta kejuaraan menerusi kelebihan lima mata selepas mengatasi kedua-dua pelumba Repsol Honda, Marquez dan Dani Pedrosa.
Sehubungan itu, Marquez menjelaskan, dia tidak mempertahankan Lorenzo dalam perlumbaan tersebut, namun Rossi menyatakan tindakan bekas juara dunia musim 2013 itu telah memburukkan reputasi kempen MotoGP pada tahun ini.
“Awalnya saya fikir perlumbaan merebut kejuaraan di Valencia kali ini berpotensi untuk menjadi salah satu aksi terbaik. Malangnya, sepanjang tiga perlumbaan sebelum ini, berlaku perubahan yang tidak dijangka.
“Ia kerana Marquez membuat keputusan untuk membantu Lorenzo mendapatkan kejuaraan. Masalah ini bermula di Phillip Island (Australia) dan situasi itu bertambah buruk.
“Apabila saya dihukum memulakan perlumbaan di petak akhir, saya tahu peluang saya sudah terkubur. Saya juga tahu Marquez akan membantu Lorenzo sehingga perlumbaan tamat. Ia berlaku seperti dijangka.
“Perlumbaan ini sangat memalukan terutama ketika pusingan terakhir, ia sangat buruk untuk sukan ini. Saya sudah bersedia untuk ditewaskan Lorenzo tetapi cara ini tidak adil. Cara Marquez itu sangat memalukan sukan MotoGP.
“Jika kamu melihat gaya perlumbaan Marquez sejak dua tahun lalu, kamu akan tahu bahawa dia sentiasa mahu memintas pelumba di hadapannya dan akan terus melakukannya sehingga pusingan terakhir.
Persoalannya sekarang, mengapa Marquez tidak berusaha memintas Lorenzo dan tidak pernah cuba melakukannya di pusingan terakhir. Saya tidak faham mengapa dia buat begitu,” ujar Rossi.
DetikMoto
No comments:
Post a Comment