![]() |
Rossi menoleh ke belakang melihat Marquez yang terjatuh di pusingan ke-7 di GP Malaysia 2015 |
Honda telah mengeluarkan maklumbalas terperinci berhubung kejadian dan tuduhan yang menyelubungi penunggang bintang mereka Marc Marquez dengan pendahulu kejuaraan MotoGP Valentino Rossi di Sepang.
Rossi yang kecewa dengan asakan berterusan Marquez di dalam perebutan tempat ke-3 pada awal perlumbaan di Sepang kelihatan dengan sengaja memaksa pelumba Honda tersebut untuk terkeluar dari litar pada pusingan ke-7 daripada 20 pusingan.
Menghampiri bahagian tepi trek, berlaku sentuhan di antara Rossi dan Marquez termasuk pergerakan kaki daripada Rossi yang berakhir dengan Marquez terjatuh.“Saya tidak menyangka yang dia (Rossi) akan mengangkat kaki dan menolak hendal dan brek hadapan saya,” kata Marquez.
Rossi menafikan bahawa beliau menendang Marquez, beliau berkata kakinya beralih dari pemijak kaki setelah mereka bersentuh dan Marquez telah terjatuh ketika itu. Imej TV tidak menyakinkan dan Race Direction hanya menghukum Rossi kerana memaksa Marquez terkeluar dari garisan perlumbaan, “kesan daripada sentuhan menyebabkan pelumba lain kemalangan”.
Juara dunia sembilan kali itu menerima 3 mata penalti, di mana beliau telah mengemukakan rayuan bagi mengelakkan permulaan dari petak terakhir di perlumbaan penentu gelaran, Valencia pada Ahad ini – berhadapan dengan rakan sepasukan Jorge Lorenzo.
Pertarungan di Sepang antara Rossi dan juara dua kali yang telah terkeluar dari saingan tahun ini, Marquez telah meletus sejak Khamis, di mana Rossi secara sensasi menuduh Marquez telah membantu Lorenzo pada perlumbaan sebelumnya di Australia. The Doctor menambah bahawa Marquez menaruh dendam berikutan pertembungan sesama mereka di Argentina dan Assen dan mengambarkan beliau sebagai ‘marah dan kebudak-budakan.”
Rossi mendakwa bahawa Marquez sekali lagi bertindak memperlahankan rentak perlumbaannya di Sepang yang dikira sebagai provokasi, bagaimanapun Race Direction berpendapat sebaliknya dan jelas Marquez tidak melanggar sebarang peraturan.
Kontroversi berhubung insiden tersebut tidak kelihatan akan reda, memaksa Honda untuk mengeluarkan maklumbalas Q&A bersama Vice President HRC, Shuhei Nakamoto.
Nakamoto bertegas tiada yang luarbiasa dengan cara Marquez berlumba dengan Rossi, berbanding bagaimana Rossi berlumba dengan Lorenzo di Motegi 2010, kesan daripada ‘tendangan’ Rossi dapat dilihat pada data Marquez dan ia mengecewakan kerana Rossi tidak dihukum ketika perlumbaan.
“Terlebih dahulu, kami ingin menyatakan bahawa kami percaya adalah amat penting untuk bercakap berdasarkan fakta, bukannya berdasarkan andaian. Fakta tetap fakta dan hanya ada satu tafsiran. Andaian boleh diterjemahkan di dalam pelbagai cara, bergantung pada pihak mana anda berada. Demi kebaikan sukan ini, kami ingin semua pihak untuk hanya menilai fakta yang ada sepertimana berikut:
- Marc Marquez memenangi GP Australia, memintas Jorge Lorenzo pada pusingan terakhir seterusnya merebut 5 mata Kejohanan daripada beliau.
- Pada Khamis sebelum GP Malaysia di Sidang Akhbar Sebelum Perlumbaan, Velentino Rossi telah menuduh Marc berlumba menentang beliau di Phillip Island bagi membantu Jorge Lorenzo.
- Semasa perlumbaan GP Malaysia, Rossi secara sengaja memaksa Marc keluar dari garisan perlumbaan sehingga menyebabkannya kemalangan. Race Direction telah mengenakan penalti di atas tindakan ini yang disahkan oleh FIM.
Sebagai perkara fakta, topik yang dinyatakan di atas adalah satu-satunya fakta yang kami boleh pertimbangkan dan memberi ulasan, sebarang perbincangan lain hanya bersandarkan andaian. Bercakap tentang andaian hanya akan menambahkan lagi atmosfera negatif yang sedang kita hadapi ketika ini, tetapi tidak akan mengubah realiti di atas apa yang telah terjadi.”
Apa pendapat anda mengenai suasana semasa selepas GP Malaysia?
“Kami di HRC berasa amat kesal kerana kejadian ini berlaku. Pertamanya, kami ingin menegaskan bahawa Marc telah menjadi subjek tuduhan tanpa bukti, selepas perlumbaan di Phillip Island. Jelas bahawa tiada sebarang alasan untuk menyokong bahawa dia ingin membantu mana-mana pelumba di perebutan Kejuaraan ini, di mana dia berusaha untuk memenangi perlumbaan dan dia berjaya. Setelah meneliti imej-imej tersebut lebih lanjut, anda dapat melihat dengan jelas yang Valentino dan Marc berjabat tangan selepas bendera penamat di Australia, mengesahkan satu pertarungan yang hebat dan adil.”
Adakah anda percaya pertarungan di GP Malaysia antara Marc dan Valentino berpunca daripada dakwaan Valentino?
“Kami sejujurnya tidak fikir ini adalah puncanya. Kita semua tahu Marc berlumba 100% pada setiap masa, itu adalah salah satu sebabnya kami amat menyukainya dan mengapa dia mempunyai ramai peminat di serata dunia. Marc sentiasa mendesak hingga maksimum bagi mencapai keputusan yang terbaik semampunya. Dia pernah mempunyai pertarungan dengan ramai pelumba di dalam kariernya, namun tiada sesiapa yang pernah merungut mengenainya. Di Malaysia, kita tahu Marc bergelut di awal perlumbaan dengan tangki penuh, sepertimana yang berlaku berberapa kali pada musim ini. Juga di Sepang, dia melakukan kesilapan di permulaan perlumbaan dan membenarkan Jorge memotongnya. Kemudian Valentino tiba dan mereka mula bersaing untuk kedudukan ketiga. Adegan potong-memotong memang melampau, tetapi selamat, untuk kedua-dua pelumba. Dua daripada juara-juara terbaik yang kita lihat bertarung bersama-sama di litar”
Adakah Marc cuba memperlahankan Valentino di pusingan-pusingan tersebut?
“Catatan masa pusingan-pusingan tersebut menunjukkan yang mereka agak pantas, jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang keinginan daripada Marc untuk memperlahankan Valentino. Tambahan pula setelah Marc kemalangan dan Valentino mempunyai litar yang lapang di hadapannya, catatan masanya tidaklah sepantas ketika bertarung dengan Marc. Kami percaya, mereka berdua mendesak hingga maksimum. Mereka berdua mahukan tempat ketiga dan cuba untuk mengejar Dani dan Jorge, namun sudah tentu pertarungan ini membuka ruang di antara dua kelompok depan. Inilah perlumbaan dan bila kita melihat dua pelumba yang amat berbakat seperti Marc dan Valentino, anda akan melihat pertarungan yang hebat sepertimana yang kita saksikan.”
Adakah anda percaya Valentino menendang jentera Marc?
“Ia adalah jelas yang Valentino sengaja memaksa Marc menuju keluar dari litar, di mana ia melanggar peraturan, dengan itu Marc tidak mempunyai pilihan lain selain menuju ke situ. Data daripada jentera Marc menunjukkan walaupun dia berusaha mengendalikan jenteranya bagi mengelakkan sentuhan dengan Valentino, tuas brek hadapannya tiba-tiba menerima hentakan yang menyebabkan tayar depan terkunci, yang menjadi sebab kemalangan ini berlaku. Kami percaya tekanan ini adalah kesan daripada tendangan Rossi. Data yang diperolehi daripada jentera Marc tersedia jika sesiapa dari Dorna, FIM atau media ingin memeriksanya.”
Adakah anda percaya Marc berkata benar apabila dia mengatakan bahawa dia tidak berusaha untuk memperlahankan Valentino di Sepang?
“Saya kenal sangat Marc. Dia seorang lelaki yang baik, dengan nilai-nilai yang kuat. Marc hanya cuba mempertahankan kedudukannya, seperti mana-mana pelumba akan lakukan, dan kami percayakannya 100%.”
Apakah pendirian anda tentang tindakan Race Direction?
“Kami menghormati keputusan oleh Race Direction dan tidak mahu menghakimi samada penalti yang dikenakan betul atau salah. Bagaimanapun, kami percaya terdapat bukti yang mencukupi untuk membolehkan mereka mengambil keputusan semasa perlumbaan berlangsung dan tidak perlu menunggu sehingga ia berakhir.”
Apa pendapat anda tentang rayuan Valentino kepada CAS (Court of Arbitration for Sport) terhadap keputusan Race Direction dan FIM?
“Ini adalah hak beliau. Kami akan menghormati keputusan CAS.”
Ramai yang berkata adalah tidak adil untuk Marc bertarung dengan Valentino, sedangkan Marc tidak mengejar Kejuaraan berbanding dengan Valentino.
“Ini adalah perlumbaan! Tiada komen atau rungutan ketika Dani bertarung dengan Valentino di Aragon dan menewaskannya, juga di Phillip Island dengan Iannone – tiada siapa menuduh Andrea cuba membantu mana-mana pencabar berbanding pencabar yang lain. Ini adalah musim yang sukar dan di Sepang, Marc hanya mahu mendapatkan keputusan yang terbaik untuk diri dan pasukannya, bukan sifatnya untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 jika ada peluang merebut tempat ke-3. Kita patut imbas kembali di Motegi 2010 ketika Valentino yang sudah terkeluar daripada perebutan gelaran tetapi masih hebat bertarung dengan rakan sepasukannya Jorge. Selepas perlumbaan, apabila Jorge merungut tentang Valentino yang terlalu agresif sedangkan tiada maknanya lagi kerana dia telah terkeluar dari Kejuaraan, Valentino membalas: “Saya katakan kepada Yamaha, apa yang kamu harapkan daripada saya, untuk tiba kemudian? Jika saya tahu ini, saya akan tinggal di rumah sahaja.” Kami sangat bersetuju dengan pendekatan Valentino dan sentiasa akan menyokong pelumba-pelumba kami untuk mencapai keputusan terbaik mungkin.”
Apa pendapat anda tentang Valentino saat ini?
“Valentino ialah juara yang paling hebat di dalam sukan ini. Kami percaya beliau telah melaksanakan tugas yang hebat pada tahun ini dan jika dia memenangi Kejuaraan ini, maka dia memang layak, dengan konsistensi dan sangat laju sepanjang tahun. Fakta yang dia telah berusia 36 tahun menambah lagi penghormatan kepada seorang juara yang hebat. Berdasarkan semua ini, kami tidak faham atas dakwaan dia berhubung perlumbaan di Philip Island dan tindakannya semasa perlumbaan di Sepang. Kami berharap Valentino akan memikirkannya sekali lagi dan memahami kesilapannya.”
Apakah sasaran anda di Valencia?
“Sepertimana biasa, sasaran kami ialah untuk menang! Harapan kami ialah Marc dan Dani akan berusaha untuk menang. Jika boleh menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua – tidak penting bagaimana susunannya pada kami – kami tetap gembira. Pertama sekali, oleh kerana kami ingin menamatkan musim ini dengan kemenangan ke-4 berturut-turut, keduanya jika mereka berdua di hadapan Jorge dan Valentino, keputusan mereka tidak akan mempengaruhi perebutan mahkota kejuaraan dan – akhirnya kami berharap semua orang dapat memahami bahawa pelumba-pelumba Honda berlumba untuk menang dalam pertandingan yang tulen bukan selainnya.”
DetikMoto
No comments:
Post a Comment