Friday, 6 November 2015

MotoGP : Rossi Ingin Bersaing 'Secara Saksama Merebut' Gelaran Dengan Lorenzo

Lorenzo (99) dan Rossi (46) rakan di awal musim, seteru di akhir musim MotoGP 2015
Valentino Rossi berkata bahawa dia mengharapkan 'perebutan gelaran secara saksama' dengan rakan sepasukan Movistar Yamaha Jorge Lorenzo, dia kini sedang menunggu keputusan dari Court of Arbitration for Sport (CAS) berkenaan permohonannya untuk mengantung penalti yang diterimanya di Sepang.

Rossi, mendahului Lorenzo dengan tujuh mata menuju perlumbaan penentu kejuaraan hujung minggu ini di Valencia, dikenakan tiga mata penalti kerana menyebabkan pelanggaran sehingga Marc Marquez terkeluar dari pelumbaan di Malaysia - diarahkan untuk bermula dari petak terakhir grid di Valencia sebagai hukuman.

Bagi mengelakkan kesukaran, Rossi telah merayu kepada CAS untuk mengurangkan atau membatalkan penalti yang diterimanya di Sepang - tetapi sebarang keputusan boleh mengambil masa sehingga berbulan, maka dia juga meminta agar mata penalti itu digantung sehingga CAS mencapai keputusan muktamad.

Perkara seperti "penggantungan perlaksanaan" boleh dikatakan lebih penting berbanding keputusan akhir CAS. Jika penalti tersebut digantung pelaksanaannya maka Rossi boleh bermula dari grid seperti biasa, dan jika CAS kemudiannya mengesahkan hukuman dari FIM itu maka Rossi hanya perlu bermula daripada petak akhir pada mana-mana perlumbaan musim hadapan.

Sebaliknya, jika penalti tersebut kekal maka Rossi perlu bermula daripada petak grid terakhir dan ia tidak lagi relevan samada CAS mengesahkan atau mengugurkan tiga mata penalti tersebut kemudian, oleh kerana kejuaraan telah ditentukan.

CAS dijangka mengumumkan samada permohonan Rossi untuk pengantungan penalti tersebut telah diterima "tidak lewat daripada" Jumaat.

Pelumba berusia 36 tahun itu berkata yang dia akan fokus kepada persediaannya di litar, namun menjelaskan bahawa dia merayu kepada CAS kerana merasakan dia seharusnya dibenarkan merebut gelaran secara saksama dengan Lorenzo.

Hukuman 3 mata penalti yang diterimanya di Sepang apabila digabungkan dengan satu mata penalti yang diterima di Misano menyebabkan Rossi perlu bermula di petak grid terakhir di Valencia.

"Saya masih menunggu keputusan dari CAS, tetapi saya berharap saya boleh berlumba secara normal dan berentap serta bertarung untuk gelaran juara secara saksama dengan Jorge," kata Rossi. "Di Valencia pasti ramai peminat akan hadir dan saya menyukainya. Saya akan lakukan yang terbaik di atas litar.

"Ia pasti akan menjadi minggu yang tegang dan juga yang amat penting. Saya hanya ingin fikirkan tentang apa yang berlaku di litar."

Dengan kejadian di Sepang masih tergantung di penghujung musim MotoGP, Rossi berhasrat untuk menghasilkan respon sendiri ke atas kontroversi di litar dengan merangkul gelaran dunia ke-10 dan mahkota MotoGP yang ke-8.

"Matlamat saya ialah untuk mencuba sedaya upaya saya bersama pasukan dan menghasilkan yang terbaik di setiap sesi menuju perlumbaan pada Ahad dengan saya perlu untuk mempamerkan keupayaan diri saya dengan cara yang terbaik mungkin," dia menambah.

Rossi tidak pernah memenangi gelaran MotoGP sejak tahun 2009 tetapi mendahului kedudukan kejuaraan tahun ini - selain dari kedudukan mata seri dengan Lorenzo selepas perlumbaan di Brno - sejak kejayaan di pelumbaan pusingan pertama.

Sebagai pelumba paling senior di grid, ramai yang percaya ini adalah peluang terakhir Rossi bagi mendapatkan gelaran juara dunia ke-10.

DetikMoto

No comments:

Post a Comment